Mengenai Kami

Sehingga tahun 1969, sistem pertukaran penugasan (roulment) di Malaysia Timur amat memerlukan sebuah lagi Rejimen Meriam untuk melaksanakan tanggungjawab sejajar dengan perkembangan keseluruhan Tentera Darat. Untuk mengisi keperluan ini, satu arahan telah dikeluarkan pada 30 Disember 1968 bagi menubuhkan sebuah lagi Rejimen Meriam berkuatkuasa pada 1 Januari 1969. Namun demikian Rejimen Ke-3 Meriam hanya ditubuhkan secara rasmi pada 2 Februari 1969 di Sungai Besi, Selangor. Dengan penubuhan itu, Markas Rejimen dan Bateri Markas telah ditubuhkan di Sungai Besi manakala dua bateri meriam iaitu Bateri B Rejimen Pertama Meriam dan Bateri D Rejimen Ke-2 Meriam yang pada masa itu bertugas di Sabah dan Sarawak telah diserapkan ke Rejimen Ke 3 Meriam. Pada 4 Mac 1969, Markas Rejimen dan Bateri Markas telah bergerak ke Kuching, Sarawak. Markas Rejimen, Bateri Markas dan Bateri B telah ditempatkan di Kem Sentosa, Kuching. Kemudian ianya telah dipindahkan ke Kem Ria yang jaraknya setengah batu dari Kem Sentosa. Bateri A pula ditempatkan di Sabah di mana Markas Bateri dan satu terup berada di Kota Belud manakala satu lagi terup di Tawau.

Rejimen Ke-3 Meriam adalah merupakan rejimen yang pertama dianggotai keseluruhannya oleh rakyat Malaysia. Berikut adalah senarai nama perintis penubuhan rejimen ini.
  • Lt Kol Jaafar bin Mohamad - Pegawai Memerintah
  • Mej Ong Tong Lim - Ketua Bateri A
  • Mej D L Hermon - Ketua Bateri B
  • Kapt Hng Hung Meng - Ketua Bateri Markas
  • Kapt Mohd Aris bin Salim - Ajutan
  • Kapt Chin Kai Fong - Bateri Kapten A
  • Lt Teoh Hoot Aun - Ajutan
  • Lt (KM) Nordin bin Hashim - KM Am
  • Lt Bernard Nonis - Bateri Kapten B
  • Lt B S Maniam - Ketua Terup
  • Lt Mohd Azidin bin Hj Othman - Ketua Terup
  • Lt Maskan bin Katan - Ketua Terup
  • Lt M Abd Wahid bin Hj Anwar - Pegawai Semboyan
  • Lt M Koay Siew Har - Ketua Terup
  • Lt M Noel Jeevaratnam - Pegawai Pos Perintah
  • Lt M Koh Siew Cheng - Pegawai Pos Perintah
  • Lt M Noor Jaafar - Pegawai Pos Perintah
  • Lt M Mohd Daud bin Abd Rahman - Pegawai Pos Perintah
  • 650098 PW II Aziz bin Saai - Sarjan Mejar Rejimen
Setelah menamatkan tugas di Malaysia Timur, pada bulan Disember 1969, Rejimen Ke-3 Meriam telah bergerak balik ke Semenanjung Malaysia dan menduduki serta mengambilalih Kem Kamunting dari Rejimen Ke-2 Meriam. Setelah kira-kira setahun, pada bulan Disember 1970, Bateri C telah ditubuhkan dengan Kapt Abdul Aziz bin Mokhtar sebagai Ketua Bateri yang pertama. Pada tahun berikutnya, sekali lagi rejimen ini telah ditugaskan ke Malaysia Timur. Penugasan tersebut bermula pada bulan Oktober 1971 yang hanya melibatkan Markas Rejimen, Bateri Markas dan dua bateri meriam. Penempatan untuk penugasan ini adalah seperti penugasan pada tahun 1969.

Pada tahun-tahun berikutnya, Rejimen Ke-3 Meriam telah ditugaskan ke Malaysia Timur sebanyak dua kali lagi iaitu pada tahun 1972 dan 1975. Untuk kedua-dua penugasan, Markas Rejimen dan Bateri Markas telah ditempatkan di Kem Sentosa, Kuching. Bateri A pula ditempatkan di Kota Belud, Sabah, Bateri B di Sibu manakala Bateri C di Kem Penrissen, Kuching. Selepas tahun 1975, penugasan di Malaysia Timur hanya melibatkan satu bateri meriam sahaja. Bateri-bateri dari Semenanjung Malaysia telah digilirkan melakukan tugas tersebut pada setiap tahun dan yang terakhir dari rejimen ini ialah Bateri A pada tahun 1981.

Bateri meriam yang ke empat iaitu Bateri D telah ditubuhkan pada 12 Ogos 1976 di Taiping dengan Mej Syed Hussin bin Syed Nazimuddin sebagai Ketua Bateri. Bateri ini juga dikenali sebagai Bateri Ahmad Shah mengambil sempena lawatan DYMM Sultan Pahang selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Meriam Malaysia. Beliau telah berkenan menepung tawar meriam semasa pelancaran status operasi bateri dilaksanakan. Namun demikian apabila Rejimen Ke-4 Artileri dihidupkan pada tahun 1985, Bateri D yang pada masa itu diketuai oleh Kapt Mustapha bin Ali, telah diserapkan ke rejimen tersebut dan berpindah ke Kem Sikamat, Seremban. Ianya telah ditukarkan designasinya kepada Bateri C, Rejimen Ke 4 Artileri.

Pada 3 April 1981, nama Rejimen Meriam telah ditukar kepada Rejimen Artileri. Serentak dengan itu, designasi rejimen ini telah ditukar kepada Rejimen Ke-3 Artileri. Kemudian pada 6 Jun 1992, Rejimen Artileri telah dianugerahkan gelaran Diraja. Dengan itu pasukan ini telah dikenali sebagai Rejimen Ke-3 Artileri Diraja.

Dari tahun 1981 hingga tahun 2001, rejimen ini tidak pernah terlibat dalam penugasan bateri meriam di Malaysia Timur. Namun demikian pada 15 Februari 2002, Bateri C, Rejimen Ke-3 Artileri Diraja telah ditugaskan mengambilalih Kem Balai Ringin di Sarawak dari Bateri C, Rejimen Ke-5 Artileri Diraja melalui arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Arah Artileri pada 19 Nov 2001. Setelah hampir sebelas bulan menduduki Kem Balai Ringin, Bateri C telah diberi penugasan untuk mengambilalih dan menduduki Kem Penrissen di Kuching berkuatkuasa 5 November 2002 sehingga kini.